Tuesday, March 22, 2011

Sejarah Kayak

hmm.. sepatutnya, aku buat entry sejarah kayak dulu... ni tak.. aku terus merapu pasal anatomy kayak... hahahaha... sorry lah geng.. aku over excited sebab baru lepas turun kayak kan... heheeheh... sorry lah sekali lagi... so hari ni aku nak wat entry sejarah dan asal usul kayak... ehmm... sounds pun macam pakar sejarah jer... ahaaaakkkksssss....

Definisi Kanu
Kanu merangkumi semua kenderaan atau alatan air sebagai medium utamanya serta digerakan dengan menggunakan teknik dayungan ataupun bantuan tenaga alam. Kayak pula merupakan pecahan daripada keluarga kanu.

Perbezaan Kayak dan Kanu

 nota kaki...
 
Kayak
Sejenis kenderaan air yang mempunyai geladak tertutup, menggunakan dua bilah mata dayung dan di dayung secara duduk berlunjur. Contoh kayak ialah kenderaan air yang digunakan oleh orang Eskimo.
 
Kanu
Merujuk kepada sejenis kenderaan air yang mempunyai geladak terbuka, menggunakan satu bilah mata dayung dan didayung secara berlutut. Contoh kanu ialah sampan yang digunakan oleh kaum Red Indian di Kanada dan sampan kolek yang digunakan oleh nenek moyang kita.
 
Sejarah Perkembangan Kayak
Seawal peradaban manusia, aktiviti berkayak telah dijalankan secara meluas. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa 75% kawasan dunia diliputi air. Sehubungan itu, manusia pada zaman dahulu telah menggunakan jalan air sebagai sumber pengangkutan utama mereka. Pengembaraan melalui jalan air lebih cepat berbanding darat. Malahan kebanyakan kawasan penempatan manusia dahulu juga berpusat di pinggiran sungai.
 
Oleh hal demikian
masyarakat dahulu telah menggunakan kayu-kayu hutan tropika untuk membuat kenderaan air dengan cara menebuk atau membakar teras kayu. Kenderaan ini dikenali sebagai kanu dugout.

Di Malaysia, nenek moyang kita menggunakan kolek, perahu dan sampan. Di Eropah pula, hutannya kaya dengan kayu-kayu lembut dan kulit kayu yang kalis air. Mereka membina kerangkan kanu daripada kayu dan dindingnya pula menggunakan kulit kayu birch. Kenderaan ini dinamakan kanu Canadian.

Penghuni-penghuni Artik pula mempunyai sumber kayu yang terhad, namun begitu mereka memiliki banyak sumber kulit dan tulang dari ikan paus dan anjing laut. Oleh itu, mereka membina kerangka kanu dari kayu atau tulang binatang dan disaluti dengan kulit binatang. Kenderaan ini dinamakan Inuit ataupun Kayak Eskimo.

Ketiga-tiga situasi ini telah melahirkan pelbagai reka bentuk kanu. Sehingga kini, kebanyakan kayak dan kanu yang digunakan masih lagi mengekalkan ciri-ciri di atas. Namun begitu, seiring dengan perkembangan teknologi, terdapat beberapa perubahan drastik dari segi bahan, saiz dan berat serta bilangan pendayungnya.
 
SEJARAH PERKEMBANGAN KAYAK DI DUNIA.
Aktiviti kanu dan kayak sebebarnya telah lama berkembang di dunia. Seorang yang bernama John MacGregor telah memberi nafas baru dalam aktiviti ini. Jika sebelumnya, kayak digunakan bagi tujuan pengangkutan, tetapi kini ia menrangkumi aspek yang lebih meluas lagi iaitu dalam bidang sukan, kesenggangan dan pendidikan. Sebagai mengiktiraf sumbangan John MacGregor dalam perkembangan aktiviti kayak, beliau telah diberikan gelaran Bapa Kayak Moden.

John Mac Gregor adalah seorang pelaut British yang berbangsa Scott. Beliau lebih dikenali dengan nama Rob Roy. Oleh kerana sering mengembara keseluruh pelusuk, beliau memperolehi pelbagai pengalaman. Pengalaman utama yang beliau perolehi ialah tentang bagaimana orang Eskimo membina dan mengendalikan kayak mereka. Pada tahun 1865, beliau telah mencipta sebuah kayak moden berdasarkan kayak yang beliau saksikan di Artik. Kayak ini dinamakan Rob Roy. Sepanjang tahun 1865 hingga 1867 iaitu kurun ke-19,  beliau telah menjelajah hampir kesemua sungai-sungai di Nile, Jordan dan Laut Daltic Benua Eropah dengan menggunakan kayak ciptaannya ini.

Pada tahun 1866, kelab kanu pertama didunia telah ditubuhkan di Twickenham, England. Kelab ini telah bertanggungjawab mempopularkan sukan kanu di seluruh England terutama di kalangan pelayar dan golongan atasan British. 7 tahun kemudian, kelab ini telah di anugerahkan gelaran Diraja oleh Ratu Victoria. Sehingga hari ini, kelab ini telah melahirkan ramai pengiat aktiviti kayak.

Di Negara Jerman, kegiatan kenu bertambah pesat dengan terciptanya kayak jenis Klepper, yang boleh dipasang simpan (folded canoe).

Persatuan Kanu British telah ditubuhkan pada tahun 1887 dan memainkan peranan besar dalam memperkenalkan aktiviti berkayak di seluruh England dan dunia. Selepas Perang Dunia Kedua, namanya telah diubah menjadi Persekutuan Kanu British (BCU) dan merupakan sebuah pertubuhan kanu yang terkenal dan terulung di dunia.

Van Clauseen, seorang Amerika telah mengilhamkan penubuhan sebuah badan kanu bertaraf dunia. Pada 20 Januari 1924, 'International Representanten Shaft Des Kanusport' (IRK) telah ditubuhkan di Copenhagen, Denmark dengan dianggotai oleh 19 buah negara. Tahun 1927 pula menyaksikan perubahan besar dalam kemahiran berkayak apabila H.W. Pawlata dari Austria memperkenalkan teknik gulingan yang dinamakan 'Eskimo Roll' Teknik yang telah beliau pelajari dari penduduk Artik ini bertujuan untuk menaikan semula kayak yang terbalik tanpa perlu keluar darinya. Disinilah bermulanya perkembangan teknik gulangan yang lain.

Aktiviti pertandingan kayak mula berkembang seawal tahun 1924 di mana acara pecut telah diperkenalkan sebagai acara pertunjukan di Sukan Olimpik ke Vll di Paris. Dua belas tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1936, acara pecut telah dipertandingkan secara rasminya di Sukan Olimpik Berlin

Pada tahun 1946 pula memperlihatkan tertubuhnya International Canoe Federation. Kemahiran-kemahiran dalam kayak juga berkembang pesat apabila Milo Dufek mengubahsuai teknik dayungan perahu Canadian ke kayak.

Pada tahun 1949, Kejohanan Slalom Dunia telah dianjurkan di Geneva.
 
Awal tahun 60 an pula menyaksikan acara menuruni jeram diperkenalkan. Selepas itu, perkembangan pertandingansukan kayak terus bercambah dari kanu polo, surfinmg hinggalah ke acara 'rodeo'.

PERKEMBANGAN KAYAK DI MALAYSIA
Di negara kita, kegiatan berkayak telah bermula seawal peradaban manusia. Tujuan utamanya ialah sebagai medium pengangkutan dan pedagangan. Antara kanu yang mula-mula digunakan ialah sampan kotak, perahu dan kolek. Sejarahkayak moden pula bermula sekitar tahun 1960 an. Ia diperkenalkan oleh pelaut British yang berpengkalan di Woodlands, Singapura. Namun begitu, ia tidak popular dikalangan umum kerana kegiatannya hanya bertumpu dikalangan anggota tentera dan kakitangan kanan kerajaan sahaja. Selain itu, aktiviti berkayak pada masa itu juga dipraktikan dimaktab-maktab perguruan di seluruh negara. Guru-guru yang mengikuti kursus Pendidikan Jasmani pada masa itu telah membina beberapa unit kayak kanvas dan menjalankan pelbagai ekspidisi kayak di seluruh negara.
 
Sekitar tahun 1970 an Pulau Pinang telah mempelopori aktiviti kayak negara. Aktiviti tumpuannya ialah ekspidisi dan pertandingan. Antara kejohanan yang telah dianjurkan ialah Kejohanan Merentas Selat Pulau Pinang dan Kejohanan Mengelilingi Pulau Pinang. Pada tahun 1980 an 'Penang Canoe and Recreation Club' telah ditubuhkan. Ia merupakan kelab kanu pertama ditubuhkan diMalaysia. Namun begitu, aktiviti hanya tertumpu di sekitar Pulau Pinang dan tidak berkembang menyeluruh ke serata Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan kemudiannya telah berusaha merangcang kegiatan kayak di seluruh Malaysia. dengan tertubuhnya Persatuan Rekreasi Luar Wilayah Persekutuan "circumnavigate" melalui Program Malaysia Cergas merupakan indikator utama perkembangan aktiviti ini. Bantuan kewangan dan peralatan berkayak telah disalurkan ke seluruh negara. Aktiviti ekspedisi merupakan tumpuan utamanya.

Aktiviti kayak telah tercatat dalam lembaran sejarah negara pada tahun 1988 apabila buat pertama kalinya dua orang anak Malaysia iaitu Wahab Ibrahim dan Hairuddin telah berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia menggunakan kayak solo. Pengembaraan sejauh 1846 km telah mengambil masa selama 63 hari. Kejayaan ekspedisi ini telah menjana lagi perkembangan aktiviti kayak negara.
 
Cabaran-cabaran kayak telah dipertingkatkan lagi sehingga terlaksananya ekspedisi-ekspedisi merentas lautan antarabangsa seperti Ekspedisi Kayak Nusantara Johor ke Riau, Ekspedisi Kayak Antarabangsa Johor-Surabaya-Bali dan Ekspedisi Kayak Antarabangsa Merentas Selat Inggeris. Ekspedisi-ekspedisi yang telah dijalankan ini telah mengharumkan nama negara dan membuktikan kemampuan anak bangsa.

Acara pertandingan kanu pula diperkenalkan seawal tahun 1980 an di Pulau Pinang. Pada tahun 1990, Persatuan Kanu Kuala LUmpur telah menganjurkan Regatta Kanu Kebangsaan yang pertama di Tasik Titiwangsa. Persatuan Rekreasi Wilayah Persekutuan (PERWIP) pula telah menganjurkan pertandingan kayak arus deras di Taman Negara.

Tahun 1992 mencatat sejarah dalam perkembangan pertandingan kayak negara apabila acara kayak telah dipertandingkan buat pertama kalinya di Sukan Malaysia lV, Johor Bharu. Acara menuruni jeram dan salom telah diperkenalkan pada tahun 1994 dalam Kejohanan 'War On Water' di Jeram Besu,manakalan acara kanu polo pula telah diperkenalkan pada tahun 1995.
 
Seiring dengan perkembangan aktiviti berkayak sebagai satu displin sukan , atli-atlit kayak Malaysia telah mencapai beberapa kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa. Aziz bin Ahmad dari Johor telah memenangi pingat gangsa dalam acara TK1 1000m di Kejohanan Kanu Asia Jepun pada tahun 1991. Bidang slalom pula mencatat sejarah apabila Salehuddin Ayob telah melayakan diri ke Sukan Olompik 1996 di Atlanta. Skuad Kayak Sukan SEA 1997 ke Jakarta telah merangkul 3 pingat gangsa melalui penampilan pertama mereka di arena Sukan SEA.

Aktiviti berkayak juga aktif dijalankan di institusi pendidikan tinggi dan maktab perguruan. Kurikulum Pendidikan Luar telah menyenaraikan kegiatan berkayak sebagai salah satu aktiviti utamanya. Ia juga dijadikan salah satu aktiviti kokurikulum. Antara universiti yang bergiat menjalankan aktiviti berkayak ialah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarbangsa dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pada tahun 1999, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mencatatkan sejarah apabila menjadi universiti pertama di Asia memperkenalkan silibus Kayak Arus Deras di dalam kurikulumnya.


tu jer kot... untuk informasi jer... hehehe... tapi bukan semua penggemar sukan kayak yg amik tau pasal sejarah... tak percaya..? cuba test tanya soalan sejarah kayak ni kat diaorg... soklan cepu emas.. ahaaakss.. gerenti terkial-kial dalam lorat 'gagap' nak menjawapnye... termasuklah aku... heheheheheh... aku mengutuk diaorg umpama kutuk diri sendiri disamping mengingati diri sendiri... betul tak geng..

oklah... bye... salam adidas untuk semua....


:: artikel sumbangan izan @ kodok

3 comments:

  1. sal copy paste hasil keja owg lain?

    ReplyDelete
  2. Xmen : salam Mr. Xmen... tak payah nak copy paste hasil keje owang lain... amik jer kat sumber :

    1. Buku Kursus Kepimpinan Rekreasi Level 1 & 2
    2. Buku Sumber dan nota2 penting Kursus Jurulatih Rekreasi Level 1,2, 3 & Advanced
    3. Jurulatih dari PErsatuan Jurulatih Rekreasi Luar Malaysia...
    4. Otai-otai Rekreasi seperti OGKL dan SOS serta GO..

    nak share... amik lah... nak copy paste pun.. silakan.. benda rekreasi kena share ok...

    ReplyDelete
  3. untuk makluman, segala maklumat yang dipaparkan di blog ini adalah bertujuan untuk berkongsi serta memberikan sedikit pendedahan kepada pengemar outdoor mengenai aktiviti yang berkaitan..

    maklumat yang di posting adalah sumbangan perseorangan berdasarkan pengalaman sendiri ataupun diambil daripada sumber rujukan yang tertentu (tidak bermotifkan keuntungan semata2). semoga maklumat yang disalurkan ini memberi manfaat kepada semua pengunjung blog KOHM.

    ReplyDelete

- Anonymous tak akan dilayan. Sila tinggalkan nama / nama samaran supaya senang nak sebut sekiranya ada perbincangan.

- Komen yang berkaitan dengan artikel di atas sahaja.

- Komen merapu @ 'Hit and Run' akan diPADAM serta merta.